Sunday, February 12, 2012

C.I.N.T.A.

Entri kali ini tiada kaitan dengan Hari Kekasih. Dah lama hendak menulis tentang topik ini, kesempatannya yang tak ada. Inspirasinya datang dari kisah seorang sahabat yang sedang mengenal cinta. Aku tumpang bahagia untuk sahabat ini, yang aku rasakan selayaknya menerima dan mengalami cinta. 

Perkenalannya dengan cinta bermula di alam maya, kemudian menjadi perbualan suara. Masih belum bersua muka, namun hati sudah berbunga-bunga, sudah mula merindu. Dia bahagia, gembira, namun masih ada rasa sangsi sebab belum bertentang mata. Dia bertanya kepada aku; "Boleh ke jatuh 'suka' walaupun belum pernah berjumpa?"

Jawapan aku, "Soal hati, Allah lebih Mengetahui." Mungkin terlalu optimis. Entah. Aku merasakan untuk jatuh cinta atau 'suka' tidak semestinya dengan bersua muka, bertentang mata. Tapi aku tak menolak, perasaan cinta atau suka boleh hilang jika apa yang dilihat secara zahir tidak seperti digambarkan oleh suara. Bukan senang nak jumpa pasangan hidup. Ramai yang mencari, belum tentu jumpa yang berkenan di hati. Kadang-kadang kita terlalu idealis, mahu yang terbaik dalam pelbagai segi, walhal diri sendiri pun tak berapa baik. Dalam menjejak kesempurnaan, kita terlupa yang manusia itu sendiri tak ada yang sempurna. Kita berusaha dengan mengenal hati budi, kemudian berdoa kepada Allah jika benar inilah jodoh Allah tentukan, permudahkanlah jalannya, dan kemudian, bertawakkal, sesungguhnya Allah yang menentukan segalanya.

Firman Allah S.W.T.“Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui.” (Yaasin: 36)

Buat sahabatku, semoga Allah permudahkan segala urusan, dan semoga Allah temukan dengan jodoh yang baik. Insya-Allah, berbekalkan restu ibu ayah dan petunjuk dari Allah, aku harap apa jua keputusan yang dibuat akan membahagiakan hidupmu di dunia dan juga di akhirat kelak. :)