Assalamualaikum wbt.
Minggu lalu, salah seorang anak murid saya bertanyakan pendapat tentang biasiswa PNB. Nasihat saya, kalau dapat biasiswa bagus lah. Ada jaminan kerja (Insya-Allah) dan yang lebih baik, tak perlu pening kepala bayar balik pinjaman.
Saya teringat salah satu 'entry' dalam blog suami tentang komen beliau di atas cadangan MB Selangor membuka kuota 10% kepada pelajar bukan bumiputera menuntut di UiTM. Begitu banyak tentangan, antaranya mempersoalkan tentang hak keistimewaan bumiputera. Namun seperti yang dinyatakan oleh suami, ada baiknya kuota 10% itu untuk mewujudkan persaingan sihat di kalangan penuntut IPTA di Malaysia sama seperti IPTA lain. Apa yang lebih penting, pemberian biasiswa kepada pelajar bumiputera perlu dipertingkatkan memandangkan kebanyakan pelajar bumiputera datang dari keluarga berpendapatan sederhana dan ramai juga dari golongan yang kurang berkemampuan.
Terkenang kembali semasa menuntut di UTM Skudai suatu masa dulu, pada ketika itu skim pinjaman PTPTN baru diperkenalkan. Boleh dikatakan hampir 90% rakan sekelas mengambil pinjaman tersebut, kecuali saya dan beberapa rakan lain. Pada awalnya, memang niat di hati nak memohon pinjaman yang sama, namun Ayah menegah. Katanya, kalau biasiswa baru terima. Alhamdulillah, berkat penantian selama 3 bulan, saya berjaya mendapat biasiswa dari JPA dari peringkat diploma hingga tamat ijazah pertama. Mungkin ramai yang berkata, bukan semua yang layak dapat biasiswa (berdasarkan keputusan SPM). Namun, saya merasakan badan-badan kerajaan dan badan berkanun seharusnya memainkan peranan yang lebih baik dalam memberikan biasiswa kepada pelajar bumiputera khususnya. Walau bagaimanapun, bagi pihak kerajaan pula bagi memastikan biasiswa yang diberikan dimanfaatkan sebaik-baiknya, beberapa syarat (seperti mengekalkan keputusan baik sepanjang pengajian, mempunyai rekod displin yang baik, dsb) perlu ditetapkan supaya pelajar-pelajar tidak mengambil mudah bantuan kewangan yang diberikan.
Saya sebenarnya ingin mengucapkan tahniah kepada anak murid saya yang terpilih menerima biasiswa untuk pengajian ijazah pertama di UTM Skudai. Semoga bantuan yang diberikan digunakan sebaik-baiknya untuk diri sendiri dan keluarga.
Penerima biasiswa JPA - Mohd Najmuddin bin Nawi
Penerima biasiswa PNB - Abd Hafiz bin Abd Razak, Muhd Akmal bin Ahmad, Zulkhairi bin Kidam
Kepada yang lain-lain, saya sentiasa mendoakan kejayaan anda semua (Insya-Allah). Saya harap anda semua turut mendoakan kejayaan saya dan suami. AMIN.
cabut! lari! escape!
3 days ago


